Wednesday, March 24, 2010

TINGKATAN ENAM : SALURAN KE MENARA GADING

Pada hari ini saya ingin mengulas berkaitan tingkatan enam, satu fasa pembelajaran formal di peringkat menengah tinggi di negara ini. Dua hari yang lalu saya dihubungi oleh seorang rakan yang bertanyakan pandangan tentang prospek kemasukan ke tingkatan 6 untuk anaknya. Anaknya ditawarkan ke program matrikulasi akaun di utara tetapi menolak, sekarang ditawarkan ke tingkatan 6 rendah dalam aliran sains dan dalam masa yang sama dalam dilema menunggu tawaran mengikuti program diploma di universiti tempatan tetapi masih belum ada kepastian. Nasihat saya lebih kepada penjelasan tentang kebaikan matrikulasi, tingkatan 6 dan program diploma. Bagaimanapun keputusan memilih perlu bergantung kepada kecenderungan, minat, perancangan cita-cita/ impian dan kelayakan yang diperolehi dalam SPM. Akhirnya saya difahamkan anak rakan saya itu memilih untuk mengikuti pengajian di peringkat diploma.

Tahun ini seramai 180,630 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disahkan layak memasuki Tingkatan Enam Bawah di 765 sekolah menengah harian dan teknik seluruh negara, tahun ini seperti diumumkan oleh Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir dan daripada jumlah itu, 127,879 layak memasuki aliran kemanusiaan, manakala 52,751 lagi sains. Jumlah berkenaan juga tidak termasuk 32,685 lulusan yang mendapat tawaran memasuki program matrikulasi. Jumlah yang layak dan ditawarkan ini boleh dianggap sebagai satu petanda atau gambaran baik kepada status tingkatan enam. Bagaimanapun seperti juga tahun-tahun lalu daripada sejumlah yang ditawarkan difahamkan sebilangan mereka menolak untuk memasuki tingkatan 6.

Sesungguhnya, selama ini tingkatan enam sering dijadikan pilihan terakhir oleh pelajar apabila mereka gagal meraih tempat ke IPT. Prasarana pendidikan di negara kita yang semakin banyak menawarkan kursus-kursus atau program-program untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sama ada IPTA atau IPTS merupakan salah satu faktor wujudnya sikap sebahagian besar lulusan SPM yang seolah-olah mengetepikan tingkatan enam. Barangkali hal ini berlaku kerana golongan pelajar ini beranggapan pendidikan pada peringkat tingkatan enam tidak memberi manfaat yang banyak, susah dan mencabar, atau saluran yang lambat untuk memperoleh ijazah. Tidak kurang pelajar yang mahu mengetepikan tingkatan enam kerana dikatakan tidak glamor. Selain itu ramai pelajar yang mendapat keputusan baik dalam SPM menolak tingkatan enam adalah kebanyakan daripada mereka lebih berminat melanjutkan pelajaran mereka di luar Negara. Bagi pelajar-pelajar tersebut, belajar di luar negara adalah lebih baik daripada di universiti tempatan kerana mereka berfikiran bahawa sistem pendidikan di luar negara adalah lebih baik. Selain itu, ramai pelajar menolak tingkatan enam kerana mereka berfikiran bahawa tingkatan enam hanya membuang masa sahaja. Universiti dan Kolej swasta mempunyai kursus-kursus matrikulasi dan "foundation" yang mempunyai tempoh yang lebih pendek daripada tingkatan enam. Maka , mereka boleh melanjutkan pelajaran ke menara gading lebih awal berbanding daripada pelajar-pelajar tingkatan enam. Tanggapan seperti inilah yang sebenarnya membantutkan hasrat mereka untuk meneruskan pengajian di tingkatan enam.

Berdasarkan peningkatan peratusan pengambilan pelajar ke tingkatan enam yang berlaku pada tahun lalu, nyata pihak kementerian tidak mahu pelajar khususnya lepasan SPM mempunyai persepsi yang salah terhadap kewujudan tingkatan enam. Pihak kementerian dilihat menggalakkan kemasukan pelajar ke tingkatan enam sebelum melangkah ke menara gading. Sememangnya hal sedemikian yang diharapkan. Lulusan SPM seharusnya menyedari bahawa pada peringkat inilah mereka akan dapat memperkembangkan potensi diri dengan hanya bantuan minimum daripada pihak guru.Mereka mula didedahkan kepada pembelajaran bercorak penyelidikan ringkas atau penemuan sendiri dan tidak lagi terlalu terikat atau bergantung kepada teks tertentu sahaja. Mereka sebenarnya mula disediakan dengan suasana kendiri. Justeru, apabila memasuki universiti, golongan ini akan lebih berdaya saing dan memanfaatkan sepenuhnya suasana pendidikan di menara gading ini. Hal ini terbukti berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis, bahawa sesungguhnya pensyarah-pensyarah di IPT lebih menyenangi mahasiswa ijazah pertama lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Golongan ini dinyatakan sebagai golongan yang lebih mudah menyerap ilmu, lebih matang dan cepat bertindak berbanding lepasan SPM mahupun lepasan diploma yang tidak melalui pembelajaran tingkatan enam.

Dari segi masa memperolehi ijazah pertama, seharusnya perkara ini bukan alasan untuk mengetepikan tingkatan enam. Sebenarnya pelajar lepasan SPM yang memasuki IPT tidak semestinya mengikuti pengajian ijazah pertama. Mungkin juga hanya peringkat diploma. Lazimnya di negara kita, program diploma mengambil masa tiga tahun untuk ditamatkan kemudian barulah diterima mengikuti program ijazah pertama yang biasanya mengambil masa tiga tahun juga. Berbanding lepasan STPM, mereka sebenarnya akan memperolehi ijazah pertama setahun lebih awal, iaitu hanya dua tahun pada peringkat tingkatan enam dan tiga tahun pada peringkat ijazah pertama. Glamor atau tidak bukan lagi menjadi perkara penting. Kematangan pelajar dan kejayaan mereka memperoleh kejayaan lebih diutamakan.
Justeru, lepasan SPM yang masih belum menyedari gambaran sebenar tingkatan enam perlu sekurang-kurangnya berinteraksi dengan guru atau bekas guru mereka agar mendapat gambaran yang tepat mengenai tingkatan enam dan hubung kait dengan arah tuju pendidikan. Sementara itu, guru pula perlu memainkan peranan untuk mengikis persepsi rendah terhadap tingkatan enam. Pelajar seharusnya didedahkan kepada hal ini ketika berada di tingkatan lima lagi. Pelajar yang sudah memasuki tingkatan enam harus juga diberitahu mengenai hal ini agar mereka boleh mencongak arah tuju pendidikan mereka. Ini perlu kerana ada di kalangan ini meninggalkan tingkatan enam apabila mereka ditawarkan untuk mengikuti program di universiti. Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini adalah untuk memberi lebih banyak tawaran kepada pelajar lepasan STPM untuk ke universiti. Kerajaan harus membina lebih banyak universiti supaya pelajar-pelajar dapat menyambung pelajaran mereka di universiti tempatan dan pelajar tidak perlu risau sama ada mereka mendapat tempat dalam universiti tempatan atau tidak. Sesungguhnya tingkatan enam itu adalah asas penting untuk menjamin keberkesanan pembelajaran di menara gading. Malah, berada di tingkatan enam itu sendiri merupakan pengalaman yang amat berharga. Sebagai graduan yang pernah melalui tingkatan 6 sebenarnya perasaan fobia di kalangan lepasan SPM ini perlu dikikis. Apa yang penting tingkatan 6 perlu dijadikan medium untuk kita cemerlang dari segi pencapaian akademik, kematangan dari segi sahsiah, interpersonal, komunikasi dan lain-lain sebagai persediaan memasuki menara gading dan kerjaya.

Kelebihan Tingkatan 6


Tingkatan 6 sebenarnya mempunyai beberapa kelebihan, di antaranya adalah;

  • Ianya diiktiraf bagi kemasukan ke kebanyakan universiti di serata dunia.
  • Dengan sijil STPM pun sudah boleh bekerja dengan kerajaan mahupun swasta. Syaratnya dapat 4 prinsipal atau 3 prinsipal 2 subsid mana-mana yang terpakai berdasarkan prinsipal terendah.
  • Kiraan pointer STPM berdasarkan campur kesemua pointer subjek diambil bahagi dengan 4 sahaja. Kalau dapat 3.00 ke atas tu kira ok la tuu.Pointer nak masuk universiti guna STPM ni tak tinggi berbanding kursus matrikulasi, pra-u lain, diploma dan sebagainya kerana taraf akademiknya sangat hampir dengan universiti. Orang cakap sebelah kaki kat u kalau masuk form six ni. Itu sebab subjeknya walaupun ambil 4 atau 5 subjek bebannya lagi susah kerana perlu belajar sangat mendalam dalam setiap subjek malah ada budak matrikulasi pun belum tentu dapat skor bila jawab soalan STPM ni.
  • Setiap sujbek majoriti kena ambil 4 kertas atau bahagian bergantung ikut subjek laaa.
  • Sastera pun susah, sains pun susah. Dikatakan peperiksaan top 5 tersusah di dunia, entahlah… tapi kualiti sijil STPM nie bertaraf diploma di jabatan kerajaan sekarang nie. Maksudnya boleh cuba mintak jawatan bertaraf diploma di jabatan kerajaan spa.gov.my… layari laman web ni, Semua jawatan diploma boleh cuba ambil.

Taraf Sijil STPM

  • Setiap subjek lulus prinsipal akan dapat taraf Advanced Level (setaraf A-Level) Cambridge, UK, power tuuuuuu… Taraf A-Level ni sangat tinggi tau, diploma pun belum bertaraf A-Level lagi tau, STPM dah ada daaa.
  • Berdasarkan pengalaman taraf soalannya sama kualiti dengan soalan peperiksaan luar negara Cambridge GCE A-Level… setaraf tu… yang diambil oleh kebanyakan budak omputih luar negara untuk masuk universiti.
  • Di luar negara STPM digelar Senior Cambridge, SPM – Junior Cambrige.. kekadang High School Certificate(HSC), High School Diploma di US.
  • STPM ni sebenarnya peperiksaan University Cambridge kemudian diadakan di IPTA kita. Aku ni bekas pelajar STPM 2005 – dapat 5 prinsipal tuuu… cayalah…pointer pun ok dapat apply kerja kat kerajaan.
  • Lagi satu STPM ni laku jugak kat luar negara boleh cari makan dan lanjutkan pelajaran terkenal seluruh dunia. Kelayakan STPM ni bertaraf dunia tau…

Kelayakan Bekerja Dengan Kerajaan

Bagi Peperiksaan STPM mulai 1987, lantikan dalam jawatan kerajaan

  1. Lulus sekurang-kurangnya 3 matapelajaran atas Gred E dan lulus Pengajian Am dalam satu peperiksaan STPM; ATAU
  2. Lulus 2 matapelajaran dan lulus Pengajian Am dalam satu peperiksaan STPM dengan syarat kedua-dua matapelajaran yang lulus itu mestilah sekurang-kurangnya mendapat Gred C dan C atau Gred B dan D atau Gred A dan E; ATAU
  3. Lulus sekurang-kurangnya 2 matapelajaran atas Gred E dan 2 matapelajaran atas Gred R serta lulus Pengajian Am dalam satu peperiksaan STPM; ATAU
  4. Lulus sekurang-kurangnya 4 matapelajaran yang berlainan atas Gred E dan lulus Pengajian Am dalam peperiksaan STPM yang dikumpulkan dalam 2 peperiksaan dalam tempoh 3 tahun berturut-turut.

Senang cerita dapat 4 principal C dan ke atas atau 3 prinsipal + 2 subsid dan ke atas tapi kiraannya mestilah Pengajian Am lulus penuh atau gred C, subjek yang lain tu 3 atau 4 subjek pun mestilah gred C. Itu paling asas untuk STPM bertaraf lulus penuh boleh kerja dengan kerajaan.

Kelebihan Ambil 5 Subjek

Kelebihan ambil 5 subjek ni boleh beri banyak pilihan untuk pilihan bidang di universiti nanti, di samping boleh backup pointer contohnya budak dapat 5 principal C tak sama dengan budak dapat 4 principal C. Pointer budak 5 principal lebih tinggi berbanding budak dapat 4 principal.

Pointer lebih tinggi lebih senang masuk universiti atau minta kerja dengan kerajaan yang mensyaratkan pointer STPM 3.00 dan ke atas. Contohnya 5 principal B iaitu 3.00 darab 5 = 15.00/4 = 3.75 (CGPA), budak dapat 4 principal B iaitu 3.00 darab 4 = 12.00/4 = 3.00 (CGPA). Cuba lihat jauh betul perbezaan pointer nyakan. Tapi bebanlah sikit ambil 5 subjek ni, antara 3.75 – 3.00 = 0.75 jauh tuu…

Penggantian Subjek

Untuk menjelaskan lagi tentang STPM nih, bagi kemasukan ke IPTA atau kerja, berdasarkan penggantian subjek;
ok macam nie…

Katakan orang tu ada SPM dan ada STPM dalam masa yang sama, katakan subjek ekonomi di peringkat SPM dia tak dapat kredit (kepujian), tapi dia dapat prinsipal (lulus penuh) dalam subjek ekonomi diperingkat STPM.

Waktu nak apply atau masuk u nanti, katakan ada kursus syaratkan mesti dapat kredit dalam subjek ekonomi pada peringkat SPM tapi dia tak kredit. Oleh itu bolehlah digunakan kelulusan prinsipal ekonomi dalam STPM tadi untuk menggantikan nilai kredit bagi subjek ekonomi diperingkat SPM tadi.

Maksudnya apa-apa subjek yang sama dan diambil pada peringkat SPM dan STPM, lulus prinsipal subjek yg sama di peringkat STPM akan dapat menukar atau cover nilai subjek yang sama diperingkat SPM bagi penggantian kredit atau perpindahan kredit.

Kiranya orang prinsipal subjek yang sama diperingkat STPM dikira dapat kredit (kepujian) juga bagi subjek yang sama di peringkat SPM pula.

Sebenarnya dapat lulus sebahagian (subsid) bagi subjek yang sama di peringkat STPM sudah memadai atau dikira dapat taraf kepujian (kredit) bagi subjek yang sama diperingkat SPM pula. Syaratnya hanya subjek yang sama ada pada 2 peringkat iaitu SPM dan STPM.

Hanya subjek yang sama iaitu subjek STPM boleh cover subjek SPM bagi penggantian kredit SPM. Tak boleh subjek yang sama di peringkat SPM ganti subjek yang sama di peringkat STPM kerana taraf STPM lebih tinggi dari taraf SPM.

Taraf STPM adalah A-Level manakala taraf SPM adalah O-Level.

A-Level (Advanced Level); STPM, tahap lanjutan, di Malaysia dikatakan prinsipal atau lulus penuh.
O-Level (Ordinary Level); SPM. tahap biasa, di Malaysia dikatakan kredit atau kepujian.

Pembelajaran Di Tingkatan 6

Belajar kat form six ni macam belajar budak universiti, tak boleh harapkan pengajar nak bagi semua ilmu, kerana ilmu bagi setiap subjek STPM ni ruang lingkup pembelajarannya terlalu luas sampaikan bidang sains pun kait dengan sastera , sastera pun kait dengan sains.

Fikiran juga harus matang dan tinggi, terbuka, minat mendalami ilmu, suka baca bahan ilmiah, isu semasa, perbincangan sekelas, usaha serta semangat membara, ditambah dengan cita-cita, strategi berjaya, masa depan, sedikit kecerdasan minda, kecerdikan serta kecekapan, insyaAllah pasti berjaya kelak.

Selaraslah dengan kerajaan nak jadikan atau jenamakan semula form six ni seperti yang diceritakan di suratkhabar dan artikel pendidikan. Zaman dulu form six nilah satu-satunya jalan untuk ke universiti tak ada yang lain. Ramai tak dapat form six zaman dulu.

Ianya peringkat pra-u, meliputi kebanyakan subjek tahun pertama di universiti bagi kursus ijazah, peringkat pendidikan lepas menengah tinggi (STPM) dan program persediaan ke universiti dari segi mental dan pemikiran, cara belajar.

Zaman dulu STPM ni buat majlis kalau anak dapat masuk dan berjaya di form six ni. Sebab nak dapat satu prinsipal tu memang cukup susah.

Masuk form six ni memang mencabar minda dan keazaman kental. Persediaan rohani dan jasmani perlu ada dari awal pembelajaran lagi. Jangan memain, STPM peperiksaan top 5 tersusah di dunia tau tapi banyak kelebihannya.

Gred STPM

Ini gred STPM bagi yang saja nak tau,

Ini semua nilai gred lulus penuh atau prinsipal
A : 4.00
A-: 3.67
B+: 3.33
B : 3.00
B-: 2.67
C+: 2.33
C : 2.00

Ini pulak bagi nilai gred lulus sebahagian atau subsid
C-: 1.67
D : 1.33
D-: 1.00
F : 0.00

Sukatan Pelajaran

Form six ni kurikulumnya serta kualitinya diambil atau didasari dengan lembaga atau badan peperiksaan profesional luar negara iaitu mengikut standard (piawai) dari lembaga peperiksaan Universiti Cambridge itu sendiri dan ahlinya terdiri dari profesor dan pensyarah pakar.

Di Malaysia, soalannya digubal oleh pensyarah IPTA, kertas soalannya ditanda oleh cikgu form six yang pakar dalam bidangnya.

Soalan serta kualitinya setaraf dengan soalan peperiksaan University Cambridge luar negara tersebut. Diiktiraf oleh badan peperiksaan profesional luar negara iaitu mengikut standard (piawai) dari lembaga peperiksaan Universiti Cambridge.

Sebelum terlupa untuk mendapatkan sijil STPM haruslah sekurangnya dapat 1 prinsipal dari mana-mana subjek.

Monday, March 22, 2010

Belajar Semula di Tingkatan 5

PENGUMUMAN :

Bekas pelajar SPM 2009 yang ingin memperbaiki keputusan SPM mereka dibolehkan untuk mengulangi persekolahan di Tingkatan 5 tahun 2010. Mereka yang berminat akan hadir ke sekolah seperti pelajar lain, dan belajar seperti biasa.

Syarat permohonan adalah seperti berikut :
- Lulus 4 atau kurang daripada 4 mata pelajaran
- Pelajar dimestikan mengambil 6 mata pelajaran teras
(BM, BI, Math, Sains, Sejarah, P.Islam/Moral)

Tarikh mula lapor diri untuk belajar semula adalah pada 22 MAC 2010

Tarikh tutup permohonan : 31 MAC 2010

Kepada yang berminat. sila berjumpa Puan Noraini Abdullah.

.

Saturday, March 20, 2010

Cuti berakhir

Pejam celik, pejam celik, seminggu telahpun berlalu. Terasa begitu cepat putaran masa zaman ini, cuti sekolah pun dah berakhir. Isnin nanti bermulalah suatu cabaran kepada semua pelajar SMK Jelapang Jaya apabila UJIAN 1 akan diadakan bagi menguji tahap pengetahuan dan pemahaman sepanjang 3 bulan lebih pengajaran dan pembelajaran yang mereka tempuhi.

Adalah diharapkan agar cuti yang dilalui itu digunakan dengan efisyen, masa tidak terbuang begitu sahaja kerana masa yang pergi tak akan kembali lagi. Kepada pelajar yang menggunakan masa cuti untuk mengulangkaji pelajaran atau melakukan perkara barfaedah, tahniah dan syabas diucapkan. Kepada yang masih lena diulit mimpi, ayuh bangunlah dari lamunan anda itu. Perjalanan masih jauh untuk anda harungi.

Selamat kembali ke sekolah.............

.

Friday, March 12, 2010

Pelajar Cemerlang & Sekolah Terbaik Kebangsaan (SPM2009)

Pelajar terbaik Kebangsaan
  1. Gladys Tan Yee Kim (Sekolah Menengah Kebangsaan Green Road Kuching, Sarawak) << Best Student SPM 2009
  2. Grace Kiew Sze-Ern (SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor)
  3. Khadijah Ahmad Jais (Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan)
  4. Akmal Hidayat Sabri (SMK Derma, Kangar, Perlis)
  5. Syamilah Mahali (Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan)
  6. Lee Wei Ling (SMK Taman Melawati, Selangor)
  7. Nur Syuhadah Muhamad (SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu, Kelantan)
  8. Lai Yin Kwin (SMK Tinggi Melaka, Melaka)
  9. Corinne Gunn Huey Min (SMK Taman Melawati, Selangor)
  10. Hu May Khei (SMK Convent, Taiping, Perak)
Sekolah terbaik SPM 2009

  1. Sekolah Menengah Sains (SMS) Seremban, Negeri Sembilan
  2. Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor (KISAS)
  3. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Jalan Sungai Pusu, Gombak, Kuala Lumpur
  4. Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor
  5. Sekolah Menengah Sains (SMS) Alam Shah, Kuala Lumpur
  6. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang, Selangor
  7. Sekolah Menengah Sains Muar, Johor
  8. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Temerloh, Pahang
  9. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor
  10. Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan (TKC)

MRSM terbaik SPM 2009

  1. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak
  2. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Melaka
  3. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Terengganu
  4. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, Melaka
  5. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi, Kedah

sumber dari : Utusan Malaysia

.

Thursday, March 11, 2010

Debaran Berakhir

11 Mac - Debaran yang melanda guru dan para pelajar SPM sesi 2009 telah berakhir sebentar tadi apabila keputusan SPM diumumkan jam 10.30 pagi. SMK Jelapang Jaya mencatatkan peningkatan peratus kelulusan berbanding tahun 2008.

Pengetua SMK Jelapang Jaya turut sama meraikannya dengan menyampaikan slip keputusan kepada pelajar terbaik SMKJJ yang mendapat 6A dan 5A. Tahniah diucapkan kepada :

Pelajar yang mendapat 6A
1. Najwa bt Rojehan
2. Abdurrahman b. Abdullah
Pelajar yang mendapat 5A
1. Semeranjit Kaur a/p Ranjit Singh
2. Muhammad Nazrul Hakim b. Amran
3. Intan Baizura bt Ahamad Zamari

Berikut adalah wajah-wajah keriangan yang sempat dirakamkan.................



lagi gambar boleh dilihat di :
http://cikgushahrul.fotopages.com


.

Monday, March 08, 2010

Debaran Keputusan SPM

Keputusan SPM 2009 akan diumumkan pada 11 Mac 2010. Bekas pelajar SPM 2009 boleh mengambil keputusan bermula jam 9.30 pagi di Dewan Terbuka. Sila berpakaian kemas, dan membawa bersama buku teks (jika belum menyerahkan) dan membayar yuran (jika belum melunaskan)

Semoga anda semua beroleh keputusan yang cemerlang.


.

Notis Mesyuarat

Mesyuarat Agung Koperasi 2010

Tarikh : 11 Mac 2010
Tempat : Dewan Besar SMKJJ
Masa : 12 tgh


Mesyuarat Agung PIBG 2010

Tarikh : 13 Mac 2010
Tempat : Dewan Besar
Masa : 8.30 pagi

Tetamu :
En Ahamad Shaker bin Lazim
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kinta (U)

Saturday, March 06, 2010

Laporan Temasya Olahraga Kali Ke-9

6 Mac 2010 - SMK Jelapang Jaya telah mengadakan Temasya Olahraga kali ke-9 yang dirasmikan oleh Y.Bhg En Mohd Munir bin Aliasak, Penolong Pengarah Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak. Ketua Balai Polis Jelapang, Yang Setia Insp Nelson dan En Wan Saiful Akmar dari Jabatan Pelajaran Perak juga hadir sama bagi meraikan majlis ini.

Acara sambutan dan perasmian dimulakan seawal jam 8 pagi dengan iringan kompang dan diikuti oleh tarian singa bagi menyambut tetamu kehormat. Selepas itu, perbarisan masuk kontinjen Rumah Sukan dan Badan Unit Beruniform mengambil tempat. En Mohd Munir memberikan ucapan, seterusnya merasmikan temasya kali ini.

Acara pertama yang dimulakan ialah 4 x 200m jemputan, yang disertai oleh sekolah-sekolah jemputan. SMK Jelapang Jaya telah menghantar dua pasukan untuk kategori lelaki dan perempuan bawah 18 tahun.

Antara keputusan yang diperolehi semasa temasya kali ini ialah seperti berikut :

1. Hiasan Khemah
- Perdana (123 mata)
- Waja (109 mata)
- Wira (105 mata)
- Satria (81 mata)

2. Perbarisan Rumah Sukan
- Satria
- Waja
- Perdana
- Wira

3. Olahragawan Temasya - Muhammad Hafiz b Mat Hanip (Wira)

4. Olahragawati Temasya - Ho Pui San (Satria)

5. Atlet Terbaik Lelaki
- Kategori L1 - Wan Muhammad Nizar (Perdana)
- Kategori L2 - Muhammad Rizal badrul Hisham (Satria)
- Kategori L3 - Muhammad Hafiz b Mat Hanip (Wira)

6. Atlet Terbaik Perempuan
- Kategori P1 - Shobana a/p Jayaraman (Wira)
- Kategori P2 - Ho Pui San (Satria)
- Kategori P3 - Nur Qushaira bt Muhd Suhaimi (Wira)

Keputusan Keseluruhan
Johan - SATRIA (505 mata)
Naib Johan - WAJA (451 mata)
Tempat ke-3 - PERDANA (378 mata)
Tempat ke-4 - WIRA (357 mata)

gambar-gambar kejohanan boleh dilihat di
http://cikgushahrul.fotopages.com

Tahniah kepada pemenang dan guru-guru yang bertungkus lumus menjayakan kejohanan ini.

Friday, March 05, 2010

Hatrick

Satria menang lagi buat kali ke-3 berturut-turut setelah legasi pertama dimulakan oleh Ketua Rumah, En Shahrul (2008), diikuti oleh Puan Chong (2009) dan tahun 2010 milik Satria lagi dengan ketuanya ialah Puan Lailatul.

TAHNIAH SATRIA !!



lagi banyak gambar di ruangan album SMKJJ :
http://cikgushahrul.fotopages.com

.

Thursday, March 04, 2010

Temasya Olahraga Kali Ke-9

Temasya Olahraga Kali Ke-9 bakal diadakan pada ketetapan
berikut :

Tarikh : 6 Mac 2010
Tempat : Padang SMK Jelapang Jaya

Tetamu Khas (perasmi) : YB En Zainol Padzi bin Haji Paharuddin
Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan
Negeri Perak


Acara :
1. Jemputan 4x100
2. Acara 100m semua kelas
3. Acara 4x100m semua kelas
4. Acara guru dan ibu bapa (lelaki dan perempuan)
5. Acara bekas pelajar
6. Pertandingan akhir Tarik Tali Rumah Sukan (Satria vs Perdana)
7. Pertandingan Akhir Tarik Tali (Guru) - Satria vs Perdana



*** semua dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan, sokonglah rumah sukan anda, dan guru-guru anda.......

gambar-gambar raptai boleh dilihat di : http://cikgushahrul.fotopages.com

Pertandingan Tarik Tali Antara Guru Rumah Sukan

4 Mac - Guru-guru penasihat Rumah Sukan daripada Rumah Satria, Perdana, Waja dan Wira telah bertandingan dalam acara Tarik Tali sempena Sukan Tahunan 2010 ini. Seramai 5 orang guru mewakili Rumah Sukan masing-masing telah menunjukkan skill dan kepakaran dalam pertandingan ini. Para pelajar bersorak untuk guru-guru mereka dan suasana pada pagi itu amat meriah dengan pelbagai kata semangat untuk membangkitkan motivasi guru.

Biasanya guru yang mengarahkan pelajar berbuat itu dan ini, kini giliran guru pulak diarahkan oleh pelajar untuk 'menarik' dan 'menahan' dalam acara yang julung-julung kali diadakan ini.

Komitmen yang ditunjukkan amat tinggi dan penuh semangat kesukanan dan kejiranan.

Acara yang dipertandingkan tadi ialah peringkat separuh akhir, iaitu undian telah menentukan Rumah Wira bertemu Rumah Perdana, dan Rumah Satria bertemu Rumah Waja. Keputusannya Perdana telah mengungguli acara tersebut dengan memenangi straight set. Rumah Satria dan Waja pula terpaksa berhempas pulas dan set penentuan yang dimenangi oleh Rumah Satria. Selesai acara, guru-guru keletihan, kepenatan dan kekurangan oksigen dalam darah yang mengakibatkan sistem pencernaan dan kardiovaskular mereka terganggu.

Namun, guru tetap tabah dan kuat untuk meneruskan acara. Tahniah kepada semua guru yang terlibat.

Sabtu nanti akan diadakan Peringkat Akhir : Satria vs Perdana.

gambar-gambar raptai boleh dilihat di : http://cikgushahrul.fotopages.com





Tahniah................

Wednesday, March 03, 2010

Monday, March 01, 2010

Perkahwinan Mas Nur Zafirah, anak perempuan Puan Maimon

26 Februari - Mas Nur Zafirah, anak perempuan Puan Maimon bt Said, guru SMK Jelapang jaya telah melangsungkan perkahwinannya dengan Mohd Shah Reza bertempat di Kg Dato' Ahmad Said Tambahan, Ipoh.

Semoga jodoh perkahwinan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat. Aminn......



Sila lawati blog nawalphoto untuk melihat pelbagai gambar perkahwinan yang lain....

.